Guru Oh Guru. Berburu ke padang datar Dapat rusa belang kaki Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi Dialah pemberi paling setia Tiap akar ilmu miliknya Pelita dan lampu segala Untuk manusia sebelum jadi dewasa. Dialah ibu dialah bapa juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat. Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca. Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu Dia adalah guru mewakili seribu buku; Semakin terpencil duduknya di ceruk desa Semakin bererti tugasnya kepada negara. Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku Budi yang diapungkan di dulangi ilmu Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat Menjadi kenangan ke akhir hayat. USMAN AWANG 1979
Pada awal bulan Julai 1994, Kementerian Pendidikan Malaysia bersetuju melaksanakan projek pembinaan Sekolah Menengah Air itam dengan perbelanjaan sebanyak RM7,861,500.00. Pada bulan Ogos 1994, pihak JKR telah memaklumkan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang bahawa syarikat Farlim (M) Sdn. Bhd. telah ditawarkan untuk membina Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam.
Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam telah siap dibina pada penghujung tahun 1995 dan pada bulan Disember 1995, Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam dibuka dengan 11 buah kelas (4 kelas Peralihan dan 7 kelas Tingkatan 1) bersama-sama dengan 370 orang pelajar.