Wednesday, January 29, 2014

Kemudi PPPM di landasan betul

 
Putrajaya: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini berada di landasan betul untuk mencapai sasaran hasil perancangan teliti dan pemantauan berterusan di setiap peringkat bermula dari Pengurusan Tertinggi dan pelaksana.

Malah, Pelan ini juga boleh berjaya sekiranya semua pihak faham dan melaksanakan peranan masing-masing untuk memastikan ekosistem pembelajaran yang menyeluruh bagi melahirkan murid berkualiti.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Datuk Dr Amin Senin berkata, terdapat 100 inisiatif yang akan dilaksanakan sepanjang 12 tahun PPPM yang dibahagikan kepada beberapa gelombang.

Katanya, pertama sekali soal pengurusan apabila setiap inisiatif yang dirancang mesti ada penerajunya, bermaksud Bahagian di Kementerian sudah diberi tanggungjawab untuk menerajui beberapa inisiatif yang dirancang.

“Merekalah yang akan melihat secara langsung bagaimana inisiatif itu dapat dilaksanakan dari peringkat Kementerian hingga sekolah.
“Paling penting pemantauan kami cukup teliti, setiap minggu peneraju akan melaporkan adakah inisiatif sudah dilaksanakan mengikut perancangan. Kita juga telah menetapkan sistem pemantauan yang lebih berkesan bagi inisiatif utama di mana laporan disediakan setiap minggu dan diteliti oleh Pengurusan Tertinggi. Dashboard ini menggunakan kod warna bagi penentuan inisiatif yang perlu diberi sokongan dan bantuan.

“Pada masa sama, kita juga ada penanda aras, iaitu perkara pokok mesti dicapai seperti ditetapkan. Kita akan laporkan kepada menteri, pemantauan juga dilaksanakan dan ini merujuk kepada Indeks Prestasi Utama (KPI) setiap inisiatif itu,” katanya.
Amin berkata, setiap inisiatif itu juga perlu dipastikan dapat dicapai tanpa sebarang halangan sama ada soal kewangan, pentadbiran dan sumber manusia, malah semua isu atau masalah yang timbul akan diselesaikan dalam mesyuarat mingguan bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian.

Beliau turut menjelaskan 100 inisiatif yang dirangka akan sentiasa dikaji mengikut kesesuaian serta keperluan semasa.