Friday, August 23, 2019

Pendidikan sivik satu jam, minggu keempat setiap bulan


Kementerian Pendidikan menetapkan, pendidikan sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan bermula Jun lalu.

Dr. Maszlee Malik berkata, pendidikan sivik dilaksanakan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

Pelaksanaan pendidikan sivik dilakukan secara bersepadu dan holistik dengan memberi penekanan terhadap literasi serta amali, di dalam dan luar bilik darjah melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian.

Literasi sivik adalah rangkuman pengetahuan kewarganegaraan, sosioemosi kewarganegaraan dan tindakan kewarganegaraan yang tersurat dalam kurikulum dan perlu dikuasai oleh murid.

Sementara amali sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan literasi sivik secara praktikal dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum dan program sekolah.