APAKAH relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara’ dengan peranan pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar?
Tema ini mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai penjana transformasi pendidikan negara yang memikul semua perancangan pendidikan dirancang kerajaan. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah melakukan transformasi seiring aspirasi negara seterusnya melaksanakan matlamat Hari Guru.
Bagi mencapai usaha ini, guru perlu menerapkan kaedah baru dalam pembelajaran kerana masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Justeru, sempena Hari Guru tahun ini, kami memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas.
Transformasi ini perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan sekali gus semangat kerjasama mereka. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran dan pengurusan menjejas tumpuan terhadap tugas hakiki sebagai pendidik. Apakah langkah menanganinya.
Guru kini bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar, malah terpaksa menyediakan laporan tugas mereka. Kajian menunjukkan tugas dan tanggungjawab guru meningkat setiap tahun. Peningkatan ini kesan transformasi sistem pendidikan yang membabitkan penggubalan dasar dan sistem serta bertambahnya mata pelajaran. Antara pendekatan yang perlu dilaksanakan kementerian ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.