Sunday, June 19, 2011

Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia pada 2 Julai

Seramai tiga juta murid dan pendidik dijangka menyertai Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia di seluruh negara pada 2 Julai ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata larian itu yang bukan berbentuk pertandingan itu diadakan sempena pelancaran Dasar 1Murid 1Sukan yang mula dilaksana tahun ini.

Larian peringkat kebangsaan akan diadakan di Taiping dan akan turut disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

"Murid-murid lain di seluruh negara akan mengambil bahagian dalam larian ini bermula pada masa yang sama di sekolah, atau di tempat yang ditetapkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Abdul Ghafar berkata larian itu juga bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Beliau berkata ia juga diharap dapat mencipta rekod bagi kategori "Penyertaan Terbesar Pelajar Sekolah dalam Satu larian" dalam The Malaysia Book of Records dengan penyertaan sebahagian besar daripada 5.3 juta murid di negara ini.