Tuesday, January 10, 2012

TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI DALAM PENDIDIKAN



Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran telah melancarkan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan pada tahun lalu. Melalui dasar ini, kerajaan mensasarkan untuk memperluaskan capaian jalur lebar di sekolah-sekolah di seluruh negara dan menyediakan persekitaran pembelajaran maya kepada semua murid.

Konsep persekitaran pembelajaran maya ini dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran serta memperkukuh sistem pengurusan maklumat berkaitan pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

Sehingga 31 Disember 2011, sebanyak 200 sekolah sudah siap dipasang capaian jalur lebar manakala sehingga April 2012 sebanyak 1052 sekolah lagi akan siap dipasang. Menjelang akhir 2012 sebanyak 7902 sekolah di seluruh negara dijangkakan mendapat perkhidmatan jalur lebar dan melaksanakan konsep persekitaran pembelajaran maya. Pemasangan capaian jalur lebar untuk semua sekolah dijadualkan siap sepenuhnya menjelang Mac 2013.