Sunday, November 10, 2013

KPPK gesa Kementerian Pendidikan mansuh PBS

KANGAR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia
 (KPPK) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan 
pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang 
didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, guru yang selama ini dibebani
 tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS 
sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Hashim berkata,
 prestasi guru turut dinilai melalui PBS, dan sistem akses yang
 sering terganggu menyebabkan kebanyakan guru tidak cukup
 tidur kerana ingin memasukkan data bagi memastikan mereka
 diberi penilaian sempurna.

Justeru, beliau berkata, mesyuarat Exco KPPK baru-baru ini memutuskan untuk menggesa Kementerian Pendidikan 
memansuhkan sistem itu, yang diperkenal pada 2011.

"Sepatutnya PBS dilaksanakan di beberapa buah sekolah sebagai
 perintis untuk menilai keberkesanannya, dan bukan terus dilaksanakan
 di seluruh negara," katanya pada sidang media yang turut dihadiri
 Timbalan Presiden KPPK Tey Meng Seng dan Setiausaha Agung 
KPPK Lok Yim Pheng.

Beliau turut menyifatkan PBS sebagai sebuah kereta baharu yang
kelihatan cantik namun pemandunya tidak boleh menggerakkan 
kenderaan itu kerana ketiadaan tayar.