Sunday, February 12, 2012

Minat pelajar jurusan sains, matematik merosot dikaji


Masalah kemerosotan minat pelajar yang mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah turut termasuk dalam kajian semula sistem pendidikan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian yang dilakukan secara menyeluruh itu dijangka siap sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan.

"Kajian menyeluruh setiap bidang mata pelajaran akan diambil kira. (Akan kaji) di mana kelemahan dan bagaimana untuk diperkukuhkan (sains dan matematik)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai laporan akhbar berhubung kurangnya minat pelajar untuk mengambil jurusan sains dan matematik di sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini dilaporkan berkata, kementerian memandang serius isu kemerosotan minat pelajar dalam bidang sains dan matematik iaitu hanya 37 peratus dalam bidang sains dan 29 peratus sahaja bagi sains tulen. - BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 11 Februari 2012